Annona Muricata
PENGENALAN
Durian Belanda atau nama saintifiknya Annona Muricata L. Dari famili Annonaceae.
Dipercayai berasal dari Amerika Tropika dan diperkenalkan ke Asia Tenggara oleh orang Sepanyol dan Belanda. Hidup dengan subur di benua Asia Tenggara.
Negara pengeluaran utama Durian Belanda ialah Filipina, Indonesia, Malaysia dan Vietnam.
Kawasan tanaman utama di Malaysia adalah di Perlis, Johor, Pahang, Perak dan Sabah.
KEPENTINGAN KUALITI
Perubahan gaya hidup dan kehendak pengguna masa kini meningkatkan cabaran kepada pengeluar hasil pertanian untuk mengeluarakan produk yang bukan sahaja menepati kehendak dari aspek fizikal dan citarasa, malah juga selamat untuk dimakan. Selain dibungkus dengan sempurna, hasil pertanian perlu bebas dari sisa baki racun perosak dan memenuhi tahap kualiti fizikal yang dikendaki pasaran.
Untuk mencapai tahap kualiti ini, Durian Belanda perlu dikendalikan dengan sebaiknya bermula dari amalan ladang, pengendalian lepas tuai hingga ke peringkat pemasaran. Penuaian dilakukan apabila buah mencapai kematangan optimum yang kebiasaannya 2-3 bulan selepas berbunga, bergantung pada varieti. Kerja kerja penuaian hendaklah dijalankan dengan cermat dan teliti supaya mutu buah terpelihara. Sewaktu menuai, tangkai buah dipotong lebih panjang untuk mengelakkan buah terkena pisau yang boleh menurunkan kualiti buah. Simpanan sementara pada suhu 15 C dengan kadar kelembapan relatif 85-90% boleh memanjangkan jangkahayat sehingga 3-4 minggu.
Durian Belanda segar mempunyai tanda-tanda yang menjejaskan persembahan termasuk kotor, cacat & cacat rupa.
Kotor - Durian Belanda yang terdapat kesan-kesan bendasing yang tidak dibersihkan seperti sarang serangga, tanah, sisa racun perosak dan lain-lain bahan asing.
Cacat - Durian Belanda yang bentuknya tidak normal atau sempurna berbonggol atau tidak sempurna bulatnya.
Cacat rupa – Tanda-tanda yang mencacatkan rupa luaran seperti berbintik, karat, kesan parut yang tidak boleh dibersihkan tetapi tidak menjejaskan isi buah. Kesan ini meliputi lebih 5% pada permukaan kulit buah.




Comments